KUALA NERUS: Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara sejak minggu pertama hingga ke-10 pada tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat kes membabitkan strok haba dan 11 kes kelesuan haba serta tiada kes kematian direkodkan.
Menurutnya, pecahan kes mengikut umur pula seramai 12 dewasa dan tiga remaja iaitu berusia antara 17 hingga 50 tahun.
Bagaimanapun, katanya, tiada kes baharu berkaitan strok haba dilaporkan dari 8 Mac lalu hingga semalam.
“Sebanyak tujuh kes tersebut direkodkan di Perak dan tujuh kes lagi di Kedah serta satu kes di Sabah.
“Pada masa ini, hanya seorang lagi mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah, namun keadaannya dilaporkan telah stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wellness Hub Terengganu di Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini, kelmarin.
Wellness Hub merupakan salah satu inisiatif
di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran melalui pendekatan ‘whole of nation’.
Dzulkefly menambah, Kementerian Kesihatan
mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan ketika cuaca panas terutamanya pada bulan Ramadan.
“Orang ramai dinasihatkan merancang aktiviti pada bulan Ramadan atau di luar rumah seperti elakkan waktu puncak cuaca panas antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.
“Selain itu, kekalkan pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari terutamanya kepada yang berpuasa dari waktu berbuka sehingga bersahur bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal atur suhu badan,” tambahnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan negara dijangka mengalami cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan berikutan ketiadaan hujan dalam tempoh yang lama susulan fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga penghujung Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, dalam tempoh itu, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan utara Semenanjung.
































