Ahli keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sibu selepas identiti mangsa dikenal pasti oleh isteri mangsa.
KAPIT: Dua daripada empat mangsa mati lemas di Sungai Batang Baleh ditemukan petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba Kapit Timothy Barat berkata mayat pertama telah dijumpai oleh orang awam di Kawan Lanang Sibu pada sekitar pukul 11.00 pagi kelmarin.
Manakala mayat kedua ditemui terapung di hadapan terminal bot express Kapit sekitar sekitar pukul 4.00 petang.
“Mayat pertama telahpun dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sibu dan identiti mangsa dikenal pasti sebagai Jack Balan, 45 tahun. Identiti mangsa telah dikenalpasti oleh isteri mangsa, Lucy Bony.
“Sementara itu, mayat kedua pula dikenalpasti sebagai Sarjan Jonathan Lambert, 51 tahun yang dikenal pasti melalui pakaian seragam polis dipakainya semasa kejadian,” jelasnya.
Bagaimanapun, dua lagi mangsa yang masih hilang adalah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 27, dan Emerson John Nain, 47.
Operasi SAR pada Sabtu disertai seramai 38 orang anggota yang terdiri daripada pihak Polis, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Residen dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak.
Pada Khamis, sebuah bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di sungai berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang dikenal pasti sebagai Moses Ngui berjaya diselamatkan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.
Dua anggota polis antara mangsa yang terlibat menaiki bot karam di Sungai Rajang terbabit.
Kedua-dua anggota terbabit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit iaitu Sarjan Jonathan Lambet daripada cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim daripada cawangan Persenjataan.
Kejadian berlaku apabila mereka dalam perjalanan dari Kapit ke Nanga Tulie bagi mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dengan 1050rds bahan peledak, dilaporkan untuk kegunaan kerja-kerja meletupkan batu bagi projek pembinaan jalan di kawasan Baleh.
































