Khaw Kok Chin
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga China Khamis di sebuah lokasi yang tidak dinyatakan di sekitar negeri ini selepas dia dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki warga tempatan termasuk lelaki warga China yang lain.
Selain berjaya menyelamatkan mangsa, polis turut menjumpai semula wang tebusan yang diminta untuk membebaskan mangsa sebelum itu yang berjumlah RM277,886.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Pulau Pinang merangkap Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu merupakan pemilik sebuah restoran makanan Thailand dan dia ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan kecuali berada dalam keletihan.
“Isteri mangsa sebelum itu telah membuat laporan petang semalam mendakwa bahawa suaminya telah diculik dari rumah mereka di George Town.
“Daripada maklumat yang kami terima dan perancangan pasukan petugas, kami akhirnya berjaya menahan empat suspek lelaki iaitu tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga China.
“Mereka kemudian telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini, kelmarin.
Menurut Kok Chin, ketika ini, polis masih mencari tiga lagi suspek untuk membantu siasatan kes itu termasuk dalang utama kes itu yang dipercayai lelaki warga China.
“Polis masih menyiasat motif kejadian dan kita sedang menyiasat kes ini dari semua sudut.
“Dalam hal ini, polis bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kes ini kerana ia dikhuatiri mungkin mengganggu siasatan,” katanya yang memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
































