KLANG: Tindakan seorang lelaki mengintai wanita sedang mandi dalam tandas sebuah rumah dekat kawasan di Kampung Jawa, di sini yang merupakan tempat tinggalnya mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa, pada Isnin lalu.
Hal demikian kerana, suspek berusia 20 tahun itu dikenali jiran di sana yang mengesahkan pemuda terbabit tinggal di kawasan perumahan sama.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, pengadu berusia 31 tahun memaklumkan jirannya ternampak suspek sedang mengintai tandas rumahnya ketika dalam perjalanan pulang.
Menurutnya, sebaik mengesan insiden tersebut, jiran sebelah rumah pengadu itu terus menghubunginya sebelum dia menelefon isterinya berusia 28 tahun yang memaklumkan sedang mandi ketika kejadian.
“Pengadu terus menghubungi isterinya selepas menerima panggilan tersebut dan bergegas pulang ke rumah untuk berjumpa dengan jirannya bagi mendapatkan kepastian.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku dekat sebuah rumah teres di sana apabila jiran pengadu ternampak suspek mengintai melalui tingkap tandas rumahnya. Namun suspek bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran jiran pengadu,” katanya.
Beliau menjelaskan, jiran pengadu dapat menerangkan ciri-ciri suspek yang merupakan penduduk di kawasan perumahan berkenaan dan membantu pengadu mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di belakang sebuah restoran di sana.
Pengadu kemudian dilaporkan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan sebelum anggota kereta peronda yang sampai di tempat kejadian menahan suspek untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Hoong Fong memaklumkan Mahkamah Majistret Klang membenarkan suspek direman sehingga kelmarin bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Klang (IPD) membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan mengaibkan kehormatan.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun atau denda atau kedua-duanya. Polis menasihatkan orang awam agar menjaga tingkah laku dan keharmonian hidup bermasyarakat,” ujarnya.
































