PETALING JAYA: Tentera Darat mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang pegawai kanannya yang kini bertugas di Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.
“Jika terbukti terdapat salah laku dan salah guna kuasa seperti didakwa, Tentera Darat akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 3 Mac lalu, laporan polis dibuat pengadu iaitu seorang pegawai tentera tular di media sosial mendakwa dia telah ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan.
Pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma dan kejadian berlaku semasa pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.
Pegawai kanan terbabit telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.


































