Yahya (empat dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Ruslan (tengah) kerana hadir menyaksikan pengisytiharan itu.
KOTA KINABALU: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam yang bermastautin di Sabah adalah berjumlah RM7.50.
Kadar zakat fitrah tersebut diumumkan oleh Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dalam Majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah 1445H/2024M di salah sebuah hotel terkemuka di sini.
Menurutnya, kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu adalah berdasarkan sukatan satu gantang baghdad bersamaan dengan 2.7 kilogram beras yang dimakan oleh majoriti rakyat di negeri ini.
Beliau turut memaklumkan, jumlah pungutan zakat fitrah bagi tahun 1444H/2023M adalah berjumlah RM11,251,061.26 yang berjaya dikutip dari 1,607,201 orang pembayar zakat fitrah di seluruh Sabah.
Turut hadir dalam majlis tersebut Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah Ahadin Arinen dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA ) Datuk Sapawi Ahmad.


































