Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis penutup KEB 2024 di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan tiga isbat (penetapan) pelan jangka panjang pemerkasaan bumiputera bagi tempoh 10 tahun akan datang bermula tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, isbat itu dicerakinkan selepas menerima kesemua intipati hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berakhir hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, agenda pemerkasaan bumiputera ini wajar dilaksanakan melalui beberapa pemacu yang menjadi fokus utama yang diagihkan kepada tiga isbat.
“Isbat pertama ialah memperkukuh pasak ekonomi negara iaitu memberi fokus kepada beberapa pemacu utama yang melibatkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar.
“Di bawah isbat ini, saya berharap agar golongan bumiputera dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup KEB 2024 di sini hari ini.
Bagi isbat kedua pula, Anwar berkata, kerajaan juga akan memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi di mana penekanan diberikan kepada penghayatan dan falsafah bumiputera.
“Ia termasuk mengukuhkan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (SOE).
“Etika kerja dan nilai integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam tatakelola dan institusi kita. Dengan pelaksanaan ini, adalah diharap kita semua bersama-sama menganjakkan paradigma penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih baik demi kemaslahatan sejagat,” katanya.
Isbat ketiga pula, katanya, ia membabitkan soal menegakkan keadilan sosial di mana tumpuan perlu diberikan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial.
“Antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas yang berkualiti.
“Selain itu, usaha untuk meningkatkan sosioekonomi Orang Asli serta keseimbangan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak harus diberi tumpuan,” katanya.
Katanya, pelaksanaan isbat ketiga ini diharap dapat memberikan hak dan perlindungan yang lebih saksama kepada masyarakat.

































