Trak pikap yang digunakan oleh suspek berjaya di tahan di simpang empat Laloh, Kuala Krai, Kelantan.
KUALA KRAI: Polis terpaksa beberapa das tembakan ke arah tayar sebuah trak pikap sebelum berjaya memberkas seorang lelaki di simpang empat Laloh, di sini semalam.
Penahan suspek berusia 45 tahun itu pada pukul 9.30 malam turut membawa kepada rampasan 162 biji pil Methamphetamine dan sebilah parang panjang.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, terdahulu pihaknya telah cuba menahan sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, bagaimanapun suspek telah bertindak melarikan diri bagi mengelakkan daripada di tahan polis.
“Anggota dari unit kereta peronda polis (MPV) telah mengarahkan trak pikap itu untuk berhenti, namun suspek bertindak agresif dengan cuba melanggar.
“Ekoran itu, anggota bertugas terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan penjenayah bagi melumpuhkan pergerakan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk menahan suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait dengan dadah.
Katanya, saringan awal air kencing dapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.
“Suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39 Akta Senjata 1960, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya.

































