Keadaan jentera lokomotif yang terlibat dalam kemalangan itu.
KOTA KINABALU: Sebuah lokomotif Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang membawa empat gerabak penumpang merempuh penghadang di hujung landasan dan dinding pagar Stsesen Sembulan di sini pagi tadi, akibat masalah teknikal.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.08 pagi tu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, perkhidmatan keretapi yang terlibat adalah PU201 yang membawa penumpang daripada Beaufort ke Sembulan, dengan formasi terdiri daripada sebuah lokomotif dan empat buah gerabak penumpang.
Menurutnya, semasa menghampiri ke Stesen Sembulan, jentera Lokomotif 7001 mengalami masalah teknikal, di mana sistem angin mengalami kerosakan dengan tiba-tiba menyebabkan sistem brek jentera Lokomotif 7001 tidak dapat berfungsi dengan baik.

Ini mengakibatkan jentera tersebut terpaksa merempuh penghadang (Bumper Stopper) di hujung landasan keretapi dan dinding pagar di Stesen Sembulan.
“Insiden ini tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada empat gerabak penumpang yang terlibat, serta tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada penumpang dan kakitangan yang bertugas.
“Empat gerabak ini telah ditarik menggunakan lokomotif yang lain dan meneruskan perjalanan untuk perkhidmatan lain yang telah dijadualkan.
“Tidak ada perkhidmatan yang lain yang terjejas disebabkan oleh insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahelmey berkata, Lokomotif 7001 telah terkeluar daripada landasan, serta mengalami kerosakan pada komponen bogie, sistem brek dan buffer, serta komponen lain yang akan dikenalpasti selepas pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Kerja menaikkan Lokomotif 7001, pembaikan penghadang dan rel yang putus, serta pembaikan dinding pagar stesen yang roboh akan dilaksanakan dalam kadar segera berpandukan peraturan-peratutran sedia ada.
“Siasatan lanjut mengenai perkara ini juga akan dibuat bagi mengelakkan insiden yang sama berulang pada masa hadapan,” katanya.


































