PETALING JAYA: Tindakan dua wanita membuat provokasi terhadap anggota polis yang menjalankan pemeriksaan membawa padah apabila kedua-duanya ditahan dalam kejadian di SS15/4G Subang Jaya dekat sini kelmarin.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.10 malam ketika anggota polis daripada Bahagian Task Force Balai Subang Jaya di lokasi kejadian.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, semasa rondaan, anggota polis ternampak sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua wanita berada di lokasi itu dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta kad pengenalan untuk tujuan pemeriksaan, kedua-duanya enggan memberi kerjasama.
“Seorang daripadanya mengeluarkan telefon bimbit dan merakam video serta mempertikaikan tugas pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua wanita warga tempatan itu ditahan kerana melakukan provokasi dan cuba menghalang tugas anggota polis.
Jelasnya, kedua-dua suspek berusia 29 tahun dan 37 tahun direman selama dua hari untuk siasatan yang dijalankan mengikut Sekysen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas.
“Mereka sudah pun dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor untuk arahan lanjut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada agensi penguatkuasa dan tidak menimbulkan provokasi yang membolehkan mereka diambil tindakan undang-undang.


































