Tiong King Sing
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menafikan Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dipecat sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia) sebaliknya beliau diturunkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu diambil selepas prestasi Dr. Ammar tidak memuaskan.
Menurut beliau, Dr. Ammar tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menambah baik pelancongan negara serta tidak ada libat urus bersama negeri selain tidak membuktikan kemampuan sebagai seorang individu yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pelancongan.
“Memang bulan tiga tahun depan dia (Dr.Ammar) pencen. Tetapi, untuk kebaikan industri pelancongan, saya tidak boleh biarkan sampai tahun depan baru ambil tindakan.
“Tengok Thailand boleh dapat 10 juta pelancong dari China sahaja, mengapa kita (cuma) dapat 1.2 juta?
“(Sedangkan) saya sudah maklumkan, misalnya pelancong China lima juta masuk, dia kata boleh tiga juta, (tetapi) tiga juta pun tak sampai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.
Sebelum ini, media melaporkan, tular satu notis penamatan pelantikan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, bertarikh 22 Februari lalu memaparkan khidmat Dr. Ammar ditamatkan berkuat kuasa pada 26 Februari ini.
King Sing melalui notis tersebut berkata, penamatan itu selaras dengan peruntukan subsekyen 10(1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 dibaca bersama dengan peruntukan seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
Mengulas lanjut, King Sing menafikan tindakan yang diambil itu adalah salah guna kuasa.
Sebaliknya, kata beliau, proses dalaman sudah diambil pihak Tourism Malaysia dengan beliau hanya menandatangani surat berkenaan.
Pada masa sama, beliau menambah, pihak kementerian sudah mempunyai calon pengganti Dr. Ammar yang juga merupakan individu daripada Tourism Malaysia.


































