Rafizi Ramli
PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan kerajaan gagal mengawal keadaan ekonomi negara sehingga sedang menyusahkan rakyat.
Menurut Utusan Malaysia, menerusi hantaran di aplikasi X, Rafizi menjelaskan keutamaan kerajaan pada tahun lepas adalah berusaha sebaik yang mungkin untuk menstabilkan harga barang dengan menurunkan inflasi.
“Ini membolehkan harga tidak terus melonjak (seperti zaman 33 bulan), sementara kerajaan tumpu kepada perkara-perkara yang menjadi punca beban kos sara hidup.
“Kami tak de lah umum sampai jihad lawan inflasi, tapi inflasi turun ke kadar yang terendah,” jelas Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Rafizi membuat penjelasan itu bagi membidas balik kenyataan bekas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.
Baru-baru ini, Annuar berkata, kegagalan yang dibuktikan oleh kerajaan sekarang dalam mengawal ekonomi negara merupakan situasi terburuk pernah dialami negara berbanding pentadbiran terdahulu.
Menurut Annuar, segala kenaikan harga barangan yang tinggi dan cukai yang dikenakan sangat membebankan rakyat.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan sedang berusaha untuk menyelaraskan gaji kakitangan awam dan dasar gaji progresif, ekoran gaji pekerja naik secara perlahan sekali gus tidak seiring dengan kos sara hidup semasa.
Selain itu, kata beliau kerajaan juga memberi peruntukan besar bagi memodenkan pertanian bagi menambahkan kapasiti pengeluaran makanan negara.
Katanya, kerajaan juga berterusan untuk sedaya upaya membaiki rantaian bekalan makanan rakyat.
“Maka kita secara berterusan melihat kepada rantaian bekalan padi, telur dan makanan asas lain, menggalakkan penjualan harga yang berpatutan melalui Jualan Rahmah dan lain-lain,” katanya.






























