Liew (tengah) bersama pegawai utama dari KePKAS, STB dan SPS pada mesyuarat itu. Kedua dari kiri ialah Pan.
KOTA KINABALU: Pengerusi Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd (SPS), Ken Pan Ying On dilantik sebagai Person-in-Charge bagi pembangunan produk pelancongan di Tawau dan Semporna.
Mengumumkan ini pada mesyuarat berkaitan pelancongan dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan SPS di sini Rabu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, langkah ini adalah untuk mencapai pertumbuhan pelancongan yang seimbang di kedua-dua daerah.
“Ken akan bertanggungjawab merangka rancangan untuk menyebarkan faedah ekonomi pelancongan antara Tawau dan Semporna. Sekarang ini, terdapat tumpuan pelancong di Semporna, di mana terletaknya syurga menyelam Sipadan yang terkenal di dunia,” katanya.
Ke arah mengurangkan kesesakan di Semporna, Liew menekankan keperluan pembangunan infrastruktur pelancongan baharu di Tawau sebagai tarikan tambahan untuk menjadikan pelancong tinggal lebih lama di bandar pantai timur ini.
“Sebagai permulaan, terdapat rancangan untuk membina jeti di Tawau bagi memudahkan perjalanan bot sebagai pengangkutan alternatif kepada pelancong yang berhasrat membuat lawatan sehari dari Tawau ke Semporna.
“Kedua, kami menggalakkan pelabur untuk membangunkan Taman Bukit Tawau sebagai kawasan tumpuan pelancong,” katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap II KePKAS, Alesia Sion dan Penolong Setiausaha, Lanah Sungkoling, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif SPS, Thonny Chee, Ketua Pegawai Operasi, Fidelis Francis dan Pengurus Komunikasi, Azeera Azeasharmel.


































