Dr Joachim (tiga dari kanan), Yiew (kanan), Julita (dua dari kanan) Dr Maximus (tengah), Jahid (dua dari kiri), Dr Yee (tiga dari kiri) dan Datin Seri Vicky dalam gambar berkumpulan di majlis makan malam Tahun Baru Cina PBS di Dewan Hakka, malam tadi.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyeru semua khususnya anak muda Sabah supaya bersatu dan teguh dalam perjuangan menuntut semula hak Sabah.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, mereka mesti berani menegaskan hak mereka sebagai rakyat Sabah dalam Malaysia.
“Kami berbangga mempunyai beberapa pemimpin muda Sabah seperti pengerusi penganjur, Yee Tsai Yiew yang bukan sahaja berbangga menjadi ahli PBS tetapi juga berani keluar dan menyuarakan apa yang kami mahukan sebagai rakyat Sabah.
“Saya menyeru semua terutama anak muda Sabah untuk bersatu dan meneruskan perjuangan untuk mendapatkan semula hak negeri dan rakyat Sabah,” katanya pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina PBS di Dewan Hakka di sini malam tadi.

Dr Joachim berkata, PBS, yang akan menyambut ulang tahun ke-39 pada 5 Mac, terus komited dengan perjuangan untuk mendapatkan kembali hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan sebagainya.
“PBS telah dan akan terus memperjuangkan agar semua rakyat Sabah mendapat tempat yang sepatutnya dalam Malaysia, agar hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 didengar dan dikembalikam.
“Perjuangan ini dimulakan oleh Presiden terdahulu kita, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan diteruskan oleh Presiden kita sekarang Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili…kita masih mengikut jejak langkah mereka dan kita bertuah kerana kita mempunyai pemimpin yang komited kepada parti,” katanya.
Dr Joachim turut mengucapkan tahniah kepada Yiew dan pasukannya kerana berjaya mengadakan majlis makan malam Tahun Baru Cina 2024, sambil berharap Tahun Naga ini akan memberikan lebih banyak kejayaan dalam perjuangan parti untuk negeri dan rakyat Sabah.
Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh Dr. Maximus; Timbalan-timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Yee Moh Cai dan Datuk Jahid Jahim; Bendahari Agung, Datuk Lum Kim Yun; Naib-naib Presiden, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Johnny Mositun; Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki; Ketua Pergerakan Pemuda, Christopher Mandut; dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain, serta ahli PBS Bahagian Api-Api.


































