Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Belia Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Steve Johnny Mositun berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) harus meningkatkan lagi kehadiran polis di kawasan-kawasan yang dianggap ‘hotspot’ dari segi jenayah.
“Rondaan polis di kawasan perumahan dan pusat beli-belah harus diperbanyakkan bagi mengurangkan peluang jenayah berlaku.
“Selain itu, penduduk tempatan juga perlu meningkatkan kepekaan mereka terhadap persekitaran mereka dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sesuai diambil pada setiap masa.
“Inisiatif untuk meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan masyarakat juga harus ditingkatkan melalui kempen-kempen kesedaran awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kejadian samun yang berlaku di Kota Kinabalu baru-baru ini yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Kes yang tular di media sosial melibatkan seorang wanita itu telah mendapat perhatian masyarakat awam.
Menurut Steve, peningkatan kes samun seumpama itu sememangnya telah memberi kesan yang signifikan terhadap masyarakat setempat.
“Ramai yang merasa takut untuk keluar rumah, terutamanya pada waktu malam, dan aktiviti harian seperti berjalan-jalan atau berbelanja telah terjejas,” katanya.
Malah, beliau sendiri mengakui kebimbangan terhadap keselamatan diri dan keluarga telah menjadi satu isu yang membebankan.
Ketua Penerangan Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Pusat itu turut menyeru kepada seluruh ahli masyarakat tidak mengira umur agar sentiasa berhati-hati apabila berada di luar.
“Adalah penting untuk mengambil tindakan proaktif mengenai keselamatan, bukan kepada kita sahaja tetapi juga kepada para pelancong negara kira yang kian meningkat jumlahnya,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun situasinya belum mencapai tahap kritikal, namun kewaspadaan terhadap isu berkenaan adalah kunci, terutama dalam era penyebaran informasi cepat menerusi internet.
“Terima kasih atas usaha Kerajaan menerusi agensi berkaitan dalam mempromosikan ekonomi Sabah melalui pelancongan namun, fokus pada peraturan keselamatan juga menjadi keutamaan dalam waktu yang mencabar ini.
“Bagaimamapun, kita amat percaya pihak keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.
“Dalam masa yang sama, tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan masyarakat adalah keutamaan yang harus dipikul bersama, dan bukan terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata.
“Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan berkesan demi menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat Kota Kinabalu,” katanya.


































