KAJANG: Lima individu ditahan polis kerana disyaki memukul seorang lelaki sehingga maut selepas terlibat dalam kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2 di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 42 tahun itu yang memandu Proton Saga berwarna kelabu dikatakan dikejar orang awam selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan sebelum itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu lelaki berkenaan dipercayai terbabas sebelum melanggar pagar kawasan perumahan.
“Mangsa ditemukan terbaring di atas jalan dengan kesan pergelangan tangan seperti diikat.
“Petugas perubatan yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di lokasi,” katanya semalam.
Mohd Zaid berkata, terdapat saksi di kawasan perumahan memaklumkan melihat mangsa itu ditarik keluar daripada kereta oleh sekumpulan lelaki dan dipukul.
“Kemudian, tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan, namun apabila kenderaan Peronda Polis (MPV) tiba, semua individu di lokasi beredar.
Kata beliau, beberapa sampel darah termasuk termasuk kesan cap jari diambil dan turut dirampas dua utas gumpalan tali warna hijau atau coklat untuk siasatan lanjut.
Katanya, bertindak atas maklumat, lima lelaki berusia 25 tahun hingga 52 tahun ditahan pada 2.05 pagi semalam di sekitar Semenyih dan Beranang.
“Semua tangkapan ditahan reman lima hari sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurut Zaid, kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian.
“Mangsa melarikan diri dan dikejar oleh orang awam tetapi sehingga kini tiada pihak yang tampil membuat laporan mengenai kemalangan pertama,” katanya.


































