KOTA KINABALU: Pemergian mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada rakyat Sarawak bahkan kepada Malaysia keseluruhannya, kata mantan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata demikian dalam menzahirkan rasa duka beliau bersama isteri, Puan Sri Faridah serta keluarga dan mengucapkan takziah kepada Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan seluruh ahli keluarga atas kembalinya ke rahmatullah suami tercinta.
“Kami berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi orang orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Musa berkata, semasa hayatnya, Abdul Taib telah mencurahkan tenaga dan buah fikiran terhadap pembangunan Sarawak dan memberikan sumbangan besar dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang suku dan kaum di negeri Sarawak khasnya dan negara Malaysia amnya.
“Sebagai Pemimpin negeri berjiran, saya dan Tun Pehin Sri mempunyai hubungan yang sangat erat khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri untuk memajukan negeri Sabah dan Sarawak. Pada hemat saya, Allahyarham Tun Pehin Sri merupakan seorang Pemimpin yang sangat berpengelaman dan fokus untuk memajukan Sarawak,” katanya.


































