Lokasi kejadian dua beradik dihempap pokok dengan salah seorang daripada mereka maut di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir, Jempol kelmarin.-Gambar/Media Sosial.
JEMPOL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dihempap pokok manakala kakaknya berusia sembilan tahun pula cedera dalam kejadian yang berlaku di sebuah pusat rekreasi di Batu Kikir di sini tengah hari kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima makluman awal mengenai kejadian melalui panggilan telefon oleh saksi yang berada di lokasi kejadian sekitar pukul 1.17 tengah hari dan segera ke lokasi kejadian bagi siasatan lanjut.
“Hasil siasatan awal ke atas saksi yang merupakan bapa mangsa mengatakan telah membawa kedua-dua mangsa untuk mandi di pusat rekreasi tersebut kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Mangsa pada masa itu sedang mandi di kolam kanak-kanak dan kemudian bergerak ke arah saksi yang berada di kawasan jeram. Semasa menuju ke arah saksi, sebatang pokok tiba-tiba tumbang dan menghempap mangsa.
“Mangsa kanak-kanak lelaki telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang sampai di lokasi manakala, seorang lagi mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Ujar Chang Hook lagi, hasil bedah disiasat mengesahkan punca kematian adalah kecederaan pada bahagian kepala dan dada akibat dihempap pokok seterusnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norsafian Sulaiman menerusi nombor 06-4582222/253 atau ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial terdapat dua orang kanak-kanak dihempap pokok dalam kejadian di Jeram Berhulu Kem, Serting Ulu di sini.


































