Suhaili dan para pegawai pengurusan tertinggi ASB bergambar kenangan
LABUAN: Perkhidmatan pertukaran kru yang dilaksanakan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) bakal memberikan kesan yang positif kepada Labuan dan mampu melonjakkan kembali ekonomi pulau bebas cukai ini.
Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman aktiviti tersebut membantu meningkatkan perkembangan dalam sektor perhotelan, restoren dan kedai makan, serta membantu para peniaga di sekitar pulau ini.
“Pelaksanaan aktiviti pertukaran kru itu juga memperlihatkan kerajaan MADANI amat prihatin untuk membantu Labuan setanding ditempat lain dalam memajukan sektor minyak dan gas,”katanya dalam satu sesi sidang media di ASB semalam.
Jelasnya, syarikat logistik itu bersiap sedia dan telah menyediakan kelengkapan fasiliti bagi agensi dan jabatan yang terlibat khususnya Jabatan Imigresen.
“Pengoperasian itu perlu dilakukan segera selewat-lewatnya Mac ini kerana aktiviti mengerudi minyak dan gas yang dilaksanakan oleh Petronas akan memulakan kerja-kerja berkenaan pada awal April ini.
“Pada sidang Parlimen 26 haribulan nanti saya akan bangkitkan isu ini supaya Putrajaya boleh mempercepatkan perlaksanaan kemudahan ‘crew change’ di Labuan ini dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh Petronas,”katanya lagi.


































