PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bertambah baik tahun ini disebabkan oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran.
Menurut Utusan Malaysia, Bank Pusat berkata, pertumbuhan akan didorong oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan dan permintaan luaran yang bertambah baik.
“Dari segi faktor luaran, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus pada 2024.
“Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang terus bertambah baik akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.
Di dalam negara, BNM berkata, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan.
Tambahnya, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan lanjut projek jangka masa panjang oleh sektor swasta dan awam serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelbagai pelan induk nasional.
“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
“Walau bagaimanapun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana pada 2024, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.
“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras telah menurun disebabkan terutamanya oleh tekanan kos yang lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.
“Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” jelasnya.


































