Dr. Joachim (tengah) menyampaikan replika kunci rumah Bantuan Mesra Rakyat (BMR) SESB kepada Rose bersama anak-anaknya sambil disaksikan oleh Jonathan (kiri), Madius (dua dari kiri) dan Mohd. Yaakob (kanan).
RANAU: Bantuan Mesra Rakyat (BMR) yang diberikan oleh pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dapat membantu masyarakat luar bandar hidup dalam keadaan yang lebih selesa dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka.
“Pada hari ini kita bersama-sama menyaksikan penyerahan kunci rumah kepada Puan Rose @ Roslinah Daimin,” kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ketika merasmikan majlis penyerahan kunci rumah sumbangan SESB di bawah Projek BMR Peringkat Daerah Ranau di Kampung Langsat, di sini, kelmarin.
Katanya, antara bantuan yang turut diberikan oleh Kerajaan ialah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT), Rumah Mampu Milik dan Rumah Mesra Rakyat Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dr. Joachim (tiga dari kanan) menerima cedera kenangan daripada Madius sambil disaksikan oleh Jonathan (kiri), Rose (tengah) dan Mohd. Yakoob (kanan).
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan terus berusaha untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya percaya bahawa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SESB ini boleh membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira suku/ etnik ,” katanya.
Dr. Joachim mengucapkan tahniah kepada Rose dan berterima kasih kepada pihak SESB yang telah memperuntukkan sebuah rumah yang mempunyai tiga bilik tidur, ruang dapur, ruang tamu dan tandas dengan kos pembinaan sebanyak RM75,000,” katanya.
“Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan program seperti ini.
“Program bantuan rumah seperti ini bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan luar bandar terpelihara,” kata Dr. Joachim.

Dr. Joachim menandatangani plak rumah di bawah projek Bantuan Mesra Rakyat (BMR), SESB sambil disaksikan oleh Jonathan (kiri), Madius (dua dari kiri) dan Rose.
Dr. Joachim turut berharap pada tahun hadapan, pihak SESB akan menambah lagi penerima bantuan kebajikan ini.
Beliau menambah, usaha ini menunjukkan keprihatinan SESB dalam membantu Kerajaan untuk membina prasarana asas seperti rumah kediaman kepada penduduk yang miskin.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program–program kebajikan dan pembangunan sosioekonomi berpaksikan rakyat dan bersasaran spesifik iaitu secara langsung kepada penduduk miskin dan termiskin yang sudah tersenarai dalam sistem e-Kasih,” ujar ADUN Kundasang itu.
Sehubungan itu, Dr. Joachim juga tiada halangan menyokong penggunaan arang batu kerana ini akan mengurangkan kos penjanaan tenaga yg sangat diperlukan terutama untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga untuk membangunkan industri di Sabah.
Tambahnya lagi, selain dengan teknologi yang moden/terkini/ canggih penggunaan arang batu juga adalah bersih atau sama juga dengan fossil fuel/ diesel.
“Negara maju lain juga juga masih menggunakan arang batu untuk penjanaan tenaga elektrik,” jelasnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau; Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar; pemimpin- pemimpin setempat serta kakitangan UPPM Kundasang.
































