PETALING JAYA: Pakar ekonomi menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 3.8 peratus tahun lalu, lebih rendah berbanding sasaran kerajaan antara 4 hingga 5 peratus.
Unjuran itu juga jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan KDNK 2022 sebanyak 8.7 peratus.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, faktor utama kepada kelembapan ekonomi selain daripada faktor asas yang tinggi pada 2022 adalah sektor luaran yang mana eksport negara menguncup sebanyak 8 peratus pada tahun lalu.
Bagaimanapun kata beliau, disebabkan situasi ekonomi domestik yang kekal stabil dengan kadar pengangguran terus merosot ke paras 3.3 peratus pada suku keempat 2023 berbanding 3.5 peratus pada suku pertama, ia memungkin pertumbuhan ekonomi domestik terus kekal menjadi peneraju kepada prestasi keseluruhan 2023.
Katanya, dasar fiskal yang masih mengembang sudah pasti akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan defisit fiskal dijangka berada pada paras 4.3 peratus pada tahun ini.
“Peruntukan yang tinggi terutamanya bagi perbelanjaan pembangunan akan memberi kesan limpahan kepada sektor-sektor yang lain seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
“Justeru, sasaran pertumbuhan (2024) sekitar 4 hingga 5 peratus dilihat sesuai dengan iklim ekonomi semasa. Yang menjadi cabaran utama adalah perubahan dasar subsidi terutamanya dasar berkenaan subsidi petrol.
“Buat masa ini kita belum pasti mekanisme pelaksanaanya. Namun, sebarang pengurangan subsidi sudah pasti akan memberi kesan kepada tingkat harga umum. Justeru risiko inflasi masih lagi menjadi persoalan pokok bagi tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai unjuran KDNK suku keempat 2023, beliau berpandangan ia lebih baik berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada KDNK suku ketiga.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim menjangkakan KDNK suku keempat (S4) 2023 pada kadar 3.8 hingga 4.0 peratus disebabkan pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan yang memberi implikasi positif kepada pertumbuhan KDNK suku keempat.
“Sektor pembinaan yang meningkat dilihat turut membantu melonjakkan pertumbuhan kadar KDNK bagi suku keempat 2023.
“Di samping itu, peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia yang tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia juga turut mempengaruhi peningkatan KDNK suku keempat 2023,” katanya.
Beliau turut menjangkakan KDNK 2024 akan tumbuh dengan kadar sederhana antara 4.2 hingga 4.5 peratus disebabkan dorong tahun ini agak mencabar dengan pelbagai isu global dan glokal yang masih membelenggu negara.
“Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diharap mampu melonjakkan KDNK negara kepada tahap yang lebih tinggi dan pengenalan cukai tidak langsung yang baharu kepada sektor tertentu juga perlu menjadi pemangkin kepada rangsangan KDNK pada 2024.
“Di samping itu, usaha pelaburan asing ke dalam negara perlu dipergiatkan lagi agar keyakinan pelabur kembali meningkat kepada prospek pelaburan di negara Malaysia selain daripada usaha membanteras rasuah yang sedang giat dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Bhd. menurunkan unjuran KDNK suku keempat 2023 kepada 3.3 peratus daripada 3.4 peratus sebelumnya, disebabkan penguncupan berterusan sektor pembuatan.
Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan penguncupan sektor pembuatan mengulangi aliran menurun berterusan dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang susut 0.2 peratus tahun ke tahun berbanding netaif 0.1 peratus pada suku ketiga 2023.
Penyusutan itu katanya, mencerminkan keadaan suram dalam pasaran global dengan IPI pembuatan global pada Disember 49.0, November 49.3 dan Oktober 48.8 peratus.
“Di samping itu, aliran ini disertai dengan pertumbuhan perlahan dalam perdagangan borong dan runcit, serta subsektor penginapan.
“Terdapat hanya pertumbuhan sederhana dalam sektor makanan dan minuman, dan sektor pembinaan mengalami kadar yang lembap disebabkan oleh suku tahun yang lebih lemah,” katanya dalam nota kajian.
































