PETALING JAYA: Pekerja p-hailing yang ditahan polis selepas membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, di sini, awal pagi ini positif dadah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner, Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semakan lanjut terhadap suspek berusia 26 tahun itu positif dadah jenis morphin.
Kata beliau, suspek berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Siasatan kes berkenaan dibuat di bawah Seksyen 435 dan Seksuen 427 Kanun Keseksaan khianat dengan api.
“Motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Fakhrudin berkata, sebuah kenderaan milik polis bantuan Prasarana yang diparkir di lokasi berhampiran MRT dibakar pukul 1.17 pagi ini.
Kata beliau, sebuah jentera pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Damansara telah ditugaskan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran itu berjaya dikawal dalam tempoh masa sepuluh minit,” jelasnya.
Terdahulu tular seorang lelaki memuat naik video mendakwa bertindak membakar sebuah kenderaan polis bantuan di laman sosial TikTok.
Lelaki terbabit memuat naik rakaman video berdurasi lima saat yang memaparkan dia bersama kenderaan sedang terbakar.
Lelaki itu turut membuat hantaran ‘berpuas hati dapat membakar kereta polis #polistakdekeje’.


































