Pasukan polis dan bomba melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat dekat lokasi nahas pesawat ringan dalam sebuah ladang kelapa sawit dekat Kampung Tok Muda, Kapar di Klang, Selangor, hari ini.
KLANG: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 petang tadi bagi penerbangan rekreasi.
Menurut Utusan Malaysia, agensi itu dalam kenyataannya memaklumkan, hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang.
“Namun tiada panggilan kecemasan diterima. Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.
“Terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat tersebut namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini,” katanya, hari ini.
Tambahnya, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian sebuah pesawat ringan terhempas dalam sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.56 tengah hari tadi sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke tempat kejadian.
Menurutnya, bagaimanapun identiti dan status keselamatan mangsa terlibat belum diketahui.
“Sampai di lokasi benar berlaku kapal terbang terhempas dan kerja-kerja mencari mangsa sedang dijalankan. Jenis pesawat adalah Aircraft Aviation Safety Technology,” katanya.






























