Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki memecahkan cermin kenderaan lain.
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang bertindak memecahkan cermin kenderaan lain di Kilometer 139.6, Lebuhraya Utara-Selatan menghala arah utara, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan di Genting Highlands, Pahang pada pukul 3.30 pagi kelmarin dan kenderaannya turut disita.
“Suspek kini direman selama tiga hari bermula hari ini (kelmarin).
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Terdahulu, polis memaklumkan telah menerima laporan tentang seorang lelaki warga asing bertindak melakukan khianat dengan merosakkan cermin kenderaan individu lain.
Siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca disebabkan suspek tidak berpuas hati apabila kenderaannya dihalang daripada menggunakan laluan kecemasan.
































