TAMPIN: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah dalam kejadian di Taman Gemas Indah, di sini, petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 51 tahun dalam perjalanan balik ke rumah melalui Jalan Mawar 7, taman perumahan berkenaan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah gagal mengawal motosikal lalu terlanggar bahagian hadapan kereta yang diparkir di hadapan rumah.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ujar Amiruddien lagi, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik IPD Tampin dan boleh menghubungi di talian 064412502 atau 064431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
































