Abdul Taib Mahmud
PETALING JAYA: Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Abdul Taib Mahmud kini berada di ibu negara dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.
Menurut beliau, kertas siasatan berhubung kes dakwaan Abdul Taib dilarikan dari hospital telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak
“Kes bukan disiasat atas insiden dilarikan tetapi menjurus kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan beliau.
“Tiada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas TYT (Tuan Yang Terutama) berkenaan,” katanya.
Rabu lalu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan Abdul Taib berada dalam keadaan selamat selepas didakwa dibawa keluar dari sebuah hospital swasta kelmarin.
Katanya, Abdul Taib kini berada di kediaman beliau di Kuching, Sarawak bersama isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
Pada 6 Februari lalu, Mancha mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta itu tular di media sosial, semalam.
Dalam laporan itu, pengadu mendakwa Abdul Taib telah dibawa keluar dari hospital berkenaan oleh ahli keluarga beliau meskipun telah dinasihatkan oleh doktor agar beliau kekal menerima rawatan sewajarnya.
Susulan itu, portal berita yang berpangkalan di London, Sarawak Report mendakwa berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh doktor berkenaan, Abdul Taib yang sedang menerima rawatan dibawa balik secara paksa ke rumahnya di Demak Jaya, di sini.


































