20 tahun berkhidmat di United Kingdom, Dr. Melissa Tan Ley Hui memutuskan sudah sampai masanya untuk berbakti kepada pertiwi.
Menaiki lori beramai-ramai bersama adik beradik dan sepupu untuk melihat tarian naga dan mercun, antara kenangan manis menyambut
Tahun Baru Cina ketika zaman kanak-kanak.
Suasana bingit bunyi mercun dan riuh rendah ahli keluarganya ketika berkumpul, cukup dirindui Dr. Melissa Tan Ley Hui.
Memetik Utusan Malaysia, mengimbau kenangan menyambut perayaan ketika kecil, pakar bedah payudara itu berkata, beliau dan keluarga yang tinggal di Kota Kinabalu akan pergi ke rumah datuk dan nenek sebelah bapanya di Sandakan.
“Kami akan menziarahi datuk sebelah ibu di Keningau dan beraya bersama-sama makcik, pakcik dan sepupu-sepupu. Lebih menyeronokkan bila dapat ang pau.
“Saya dan kakak mempunyai beg tangan anduh untuk menyimpan ang pau. Tahun Baru Cina juga membolehkan kami menikmati semua hidangan yang lazat , gula-gula dan biskut sepanjang hari,” katanya kepada Seri.
Namun, semua itu tidak lagi dirasai selepas merantau ke United Kingdom (UK) dan sebagai Pakar Bedah Payudara di hospital kerajaan
selama 20 tahun.
“Di UK, Tahun Baru Cina disambut secara sederhana bersama teman dan masyarakat di sana. Sudah tentu ia tidak semeriah di
kampung halaman.
“Saya tidak sabar beraya di sini kerana dapat menunjukkan kepada anak perempuan saya, budaya dan tradisi Tahun Baru Cina. Kami dapat
meluangkan masa bersama orang tua, keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
Beliau yang juga Pakar Pembedahan Payudara Onkoplastik dan Rekonstruktif berkata, sambutan perayaan itu lebih meriah dengan kehadiran ibunya di Kuala Lumpur.
Ketika ditemui, Dr. Melissa tampil anggun menggayakan kebaya renda biru dihiasi aksesori dokoh perak di dada yang dipadankan dengan kain batik gaya pario.
“Saya memang gemarkan semua pakaian tradisional seperti kebaya sebab ia sesuai digayakan ke mana sahaja.
“Selain kebaya, saya juga gemar pakaian tradisional masyarakat Tiong Hua, Cheong Sam. Saya akan memastikan memakai baju tradisional itu bersama anak saya pada sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Pulang jaga ibu bapa
Wanita berdarah campuran Kadazan dan Cina ini berkata, beliau dan suaminya, Dr. Kenneth Kok Lee Mun, Pakar Bedah Plastik, pulang ke tanah air tahun lalu demi berbakti kepada ibu bapa yang semakin berusia.
“Kepulangan ini membolehkan kami lebih rapat dengan ibu bapa termasuk mentua saya yang semakin dipanjat usia.
Suami, yang juga bekerja di UK selama 30 tahun, juga ingin pulang untuk menjaga mereka,” katanya.
Ketika ini pasangan ini menyertai Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya sebagai pakar bedah.
Ibu Dr. Melissa, Emily Ang Mei Len berketurunan Sino Kadazan dari sebuah pekan kecil bernama Bingor di Daerah Keningau, Sabah.
Ayahnya, Kenneth Tan Kung Sing adalah generasi kedua warga Malaysia Cina dari Sandakan, Sabah.
Beliau mengagumi ibunya yang disifatkan sebagai kawan baik. Selepas bersara sebagai setiausaha, ibunya gemar melancong.
Ayah Dr. Mellissa meninggal dunia pada usia 45 tahun. Selain berkhidmat sebagai perancang bandar di Sabah, ayahnya turut terlibat dalam perniagaan keluarga, ahli politik dan dermawan dan dianugerahkan Penghormatan Persekutuan Malaysia dari Yang Di-Pertuan Agong atas jasa dan sumbangan kepada negara.
Menyifatkan ayahnya sebagai seorang yang bijak, baik dan pemurah. Kehilangan ayah semasa beliau kecil dan melihat ibunya membesarkan
empat anak, dua lelaki dan dua perempuan, cukup menguatkan azamnya untuk mencapai kejayaan.
Justeru, anak kedua ini merasakan sudah sampai masa untuknya pulang ke tanah air untuk membalas jasa ibunya selama membesarkannya.
“Saya pernah berkata kepada diri saya sendiri, kami adalah yang paling bertuah di antara mereka yang tidak bernasib baik.
“Saya dapat melanjutkan pelajaran saya ke Australia selama setahun kemudian menamatkan pendidikan perubatan dan pembedahan saya di UK,” katanya.
Ibu bapa mentuanya juga adalah doktor perubatan. Bapa mentua beliau adalah doktor Amalan Am separuh bersara atau Doktor
Keluarga. Kini mempunyai klinik sendiri di Petaling Jaya.
Ibu mentuanya pula adalah pesara Obstetrik dan Ginekologi, kini membantu suaminya di klinik mereka di Petaling Jaya.

Bersama keluarga tersayang.
Aktif berkempen
Sekembalinya ke Malaysia pasangan ini terlibat secara aktif dalam kempen kesedaran kanser payudara setiap kali menjelang program Pink Oktober.
Ujarnya, bahagian paling sukar dalam kerjayanya adalah merawat pesakit kanser payudara yang masih muda dan keluarga mereka.
“Kanser bukan saja memberikan kesan ke atas pesakit, tetapi juga ke atas orang tersayang seperti suami dan ibubapa. Ini menjadikan ia amat
mencabar.
“Saya berbesar hati kerana dapat menggunakan kepakaran saya untuk membantu dan merawat pesakit. Bukan mudah menyakinkan pesakit
untuk menjalani pembedahan mastektomi atau membuang keseluruhan payudara.
“Bagaimanapun, saya akan berusaha mendidik, menggalakkan dan memperkasakan pesakit baik wanita mahupun lelaki sepanjang
perjalanan rawatan mereka.
Kepuasan diri dikecapi bila melihat pesakit dirawat, pulih dengan baik daripada pembedahan payudara.
Kepakaran Dr. Melissa bukan sahaja dicari pesakit dari dalam negara tetapi seluruh dunia seperti Singapura, Indonesia, Filipina,
China, Jepun, Mexico, Eropah, UK, Ireland, Australia, Amerika dan Kanada.
Rutin hariannya bermula dengan menilai dan mengurus pesakit di klinik, melakukan pembedahan di dewan bedah, menghadiri mesyuarat pelbagai disiplin untuk membincangkan pengurusan kanser yang terbaik untuk pesakit.
Kadangkala beliau dijemput bercakap dalam mesyuarat atau persidangan untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan dalam
bidang pembedahan payudara terutamanya dalam pembedahan payudara onkoplastik.
Mengakui merindui rakan pasukannya di City Hospital Birmingham, UK yang bersamasama mencapai kejayaan hebat terutamanya semasa pandemik Covid-19.
“Saya bukan sahaja seorang Perunding Pakar Bedah PayudaraOnkoplastik, saya juga Ketua Kualiti & Penambahbaikan dan Peneraju Pendidikan & Latihan untuk Jabatan Pembedahan Payudara.
“Pada tahun 2021, pasukan pembedahan payudara kami memenangi Anugerah ‘Kualiti Penjagaan’ dalam NHS Trust.
Anugerah itu dicalonkan oleh pesakit dan keluarga serta rakan pesakit,” katanya.
Mengimpikan manusia bebas kanser
BERGELAR pakar bedah memerlukan kesabaran tinggi dalam menimba ilmu.
Dr. Melissa mengakui terpaksa mengambil masa lima tahun untuk meraih ijazah dan 14 tahun latihan untuk menjadi perunding.
“Latihan untuk menjadi pakar bedah adalah satu perjalanan yang panjang. Kadangkala boleh mencabar dan sunyi. Ia memerlukan
kepercayaan diri, kebolehsuaian, ketahanan dan pemeliharaan.
“Saya menghabiskan masa setahun mengasah kemahiran dan belajar daripada beberapa pakar bedah terbaik di Hospital Diraja Marsden yang
terkenal di dunia, hospital pakar rawatan kanser di London yang berpangkalan di Kensington dan Chelsea.
“Saya melakukan latihan selama enam bulan di City Hospital Birmingham, di mana saya mengembangkan kemahiran saya dalam
pembinaan semula payudara separa dan penuh. Ia diikuti dengan latihan lawatan selama sebulan di unit
payudara terkenal dunia, Institut Payudara Nottingham, UK,” katanya.
Ketika latihan pembedahan, beliau bertemu suaminya, juga seorang pakar bedah perunding.
Pasangan yang sudah lebih 12 tahun mendirikan rumahtangga ini dikurniakan seorang anak perempuan berumur 8 tahun.
Sesibuk manapun, pasangan akan meluangkan masa bersama anak mereka seperti makan bersama sambil berbual.
“Dua kali seminggu, kami bersenaman dengan berjalan kaki, berenang dan bermain tenis supaya kekal aktif.
“Saya dan anak perempuan saya suka fesyen dan seni. Kami sering melukis, membuat seni kraf,” katanya yang turut gemar melancong.
Sebagai wanita beliau merasakan hidupnya kini sempurna.
Bagaimanapun, masih banyak impiannya yang belum terlaksana.
“Pada peringkat peribadi, saya ingin sihat dan memupuk anak perempuan saya menjadi yang terbaik dalam hidup.
“Di peringkat profesional, saya mengimpikan manusia bebas daripada kanser, manakala di peringkat global, saya berharap, kita bebas daripada peperangan dan mempunyai cara hidup mampan supaya tidak lagi mendatangkan bahaya kepada planet kita yang indah ini,” katanya menutup bicara.


































