Andi bergambar kenangan bersama para jemputan dan penghuni Rumah Warga Tua, Air Panas Tawau.
TAWAU: Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menyantuni dan merayakan Tahun Baharu Cina 2024 bersama warga emas di Rumah Warga Tua, Air Panas Tawau, di sini, kelmarin.
Mengucapkan syabas dan tahniah terutama sekali kepada Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Ali Hassan Kahar atas penganjuran tersebut, beliau gembira dengan reaksi yang sangat positif terhadap sambutan perayaan tersebut.
ADUN Tanjung Batu itu berharap usaha sebegini dapat diteruskan demi kebajikan dan kebaikan penghuni warga emas yang dikasihi.
Andi itu turut berbangga dengan pembangunan Rumah Warga Tua tersebut yang terus berkembang dari semasa ke semasa, dengan pelbagai aspek telah diambil kira dan diperbaiki dan dibangunkan.

“Saya difahamkan bangunan ini baru sahaja didirikan dan pembinaan baharu sekitar 2019-2021, dan mula berpindah operasi perkhidmatan pada 2021 dan sehingga kini.
“Terbaru pembinaan kuarters untuk kakitangan Rumah Warga Tua Tawau.
“Ini membuktikan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Masyakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, Menteri iaitu Datuk James RATIB sentiasa memberikan perkhidmatan dan mewujudkan pembangunan kepada masyarakat Tawau dan Kalabakan serta daerah sekitarnya. Syabas dan Tahniah,” katanya.
Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan menyeru orang ramai, khusunya persatuan NGO agar memberikan sumbangan dan menyantuni penghuni warga emas di Rumah Warga Tua ini.
Beliau juga berharap Rumah Warga Tua, Air Panas Tawau terus membangun seiring dengan kemajuan negeri dan negara.
































