KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki merasuah anggota polis dengan bayaran RM100 agar tidak dikenakan tindakan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri membawa padah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah cawangan Sandakan, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, sumber berkata, suspek lelaki yang berusia 20-an itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan kira-kira pukul 6 petang semalam setelah diserahkan oleh pihak anggota PDRM.
Menurut sumber, suspek dikatakan cuba menawarkan kira-kira RM100 kepada anggota polis sebagai balasan untuk tidak dikenakan sebarang tindakan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan semasa ditahan oleh anggota penguat kuasa di pusat bandar Sandakan.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menawarkan rasuah kepada penjawat awam.
Datuk S. Karunanithy turut memuji tindakan anggota penguat kuasa yang telah menolak tawaran rasuah tersebut dan beliau menyeru agar lebih ramai penjawat awam terutamanya daripada agensi-agensi penguat kuasa untuk tampil melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM.


































