Fadillah Yusof
PETALING JAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) dijenamakan semula kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Menurut Utusan Malaysia, PETRA dalam kenyataan berkata, penjenamaan itu diluluskan oleh Kabinet semalam selepas ia dibawa oleh Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sehubungan itu, nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan kementerian.
“Perubahan ini bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab Kementerian berkaitan dengan usaha transformasi dalam bidang tenaga dan air Negara.
“Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa aspirasi kerajaan melalui fungsi dan tugas Kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pemilihan akronim kementerian pula ditentukan melalui pertandingan secara terbuka kepada warga kementerian dan jabatan serta agensi dibawahnya.
Ujarnya, sejumlah 105 cadangan akronim diterima dan PETRA terpilih sebagai akronim kementerian baharu berkenaan.
“Akronim tersebut merujuk kepada pemilihan huruf-huruf terpilih yang dikaitkan dengan nama Kementerian.
“Peralihan Tenaga dizahirkan secara simbolik pada tiga huruf pertama (PET), manakala Transformasi Air juga dizahirkan secara simbolik melalui tiga huruf terakhir akronim berkenaan (TRA).
“Sektor Tenaga dan Air yang merupakan komponen terpenting dalam kehidupan kita dan kesejahteraan rakyat akan digalas oleh kementerian ini,” katanya.


































