Bendera Malaysia yang dihias pada sebelah kanan naga ketika perarakan di sekitar Melaka.
MELAKA: Penularan klip video berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan perarakan replika naga berbendera China di negeri ini disifatkan sebagai cubaan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurut Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo berkata, naga yang diarak itu sebenarnya merupakan simbolik meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.
Jelasnya, bendera China dihias pada sisi kiri replika berkenaan manakala bendera Malaysia pula berada pada sebelah kanan naga, namun tidak ditunjukkan dalam video itu.
“Apa yang dipersoalkan oleh pihak yang menularkan video berkenaan adalah tidak tepat, mereka hanya menunjukkan sisi kiri naga yang mempunyai bendera China sahaja.
“Perarakan itu adalah sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang mana terdapat bendera kedua-dua negara pada naga itu. Kanan bendera Malaysia dan kiri bendera China.
“Semasa perarakan itu, ada pelajar-pelajar dari China juga terlibat bagi meraikan hubungan diplomatik yang telah terjalin sekian lama. Saya harap persepsi salah ini dapat diperbetulkan kerana video itu tidak memaparkan perkara sebenarnya,” katanya ketika dihubungi.
Hari ini, tular dalam media sosial video yang memaparkan perarakan tersebut sambil mempersoalkan kewajaran bendera China pada naga berkenaan, seterusnya mengundang pelbagai reaksi warganet.
































