Ellron (kiri) bercakap dengan kakak kepada mendiang ketika mengadakan kunjungan ke situ.
KENINGAU: Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Sansiah Tinggian yang telah meninggal dunia.
Kelmarin, beliau bersama-sama rombongan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sook sempat menziarahi keluarga mendiang di Kampung Sook Station, Sook.
Mendiang Sansiah maut pada ahad lalu selepas 16 jam bertarung nyawa di Hospital Keningau. Mendiang maut disebabkan oleh perbuatan suaminya yang membakarnya di satu kediaman di Kampung Tinagalan Laut, Sook.
Insiden menyayat hati itu turut menyebabkan kediaman mereka hangus dijilat api dan ketiga-tiga anaknya yang masih bersekolah iaitu Alviana (16 tahun), Agnes Monica (13 tahun) dan Anggela Rita (7 tahun) kini hidup sehelai sepinggang kerana peralatan sekolah dan dokumen-dokumen penting turut hangus.
Selain sumbangan kewangan kepada keluarga yang terkesan, Ellron yang juga wakil rakyat Sook, telah mengarahkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook Tuan Tony Talasoi untuk mengatur pembelian peralatan sekolah dan keperluan lain bagi meringankan bebanan keluarga.
Sempat berbual-bual dengan anak-anak mendiang, Ellron turut memberikan kata-kata positif kepada mereka agar tetap kuat dan tabah menghadapi saat-saat sukar ini.
































