Liew merakamkan gambar kenangan bersama dengan seluruh warga SMK Tawau.
TAWAU: Kerjasama semua pihak penting dalam usaha untuk membendung pelbagai isu melibatkan remaja, kata Pesuruhjaya (K) Rela Negeri Sabah, Brigadier-Jeneral (B) Tan Sri Liew Yun Fah.
Tambahnya, isu-isu melibatkan remaja terutamanya masalah jenayah, gangsterisma, buli, dadah dan sebagainya merisaukan ibu bapa, pihak sekolah dan Kerajaan.
“Kerisauan ini perlu kita bendung kerana hal ini melibatkan modal insan kita yang akan mewarisi tampuk pimpinan negara kelak,” katanya ketika merasmikan Program Motivasi Gerak Gemilang SPM 2024 peringkat SMK Tawau yang diadakan di Dataran Sharifah Khatreena Nutaniah sekolah tersebut di sini Sabtu lalu (Feb 3).
Beliau yang juga Pengerusi Desa Group Sabah turut menyeru pihak sekolah untuk terus mempertingkatkan lagi usaha, prestasi kerja dan mutu pengajaran untuk menjadikan para pelajar sumber manusia berkualiti kepada negara.
Selain guru katanya, ibu bapa juga perlu aktif terlibat dengan hal persekolahan anak-anak.
“Tidak ada ibu bapa yang mahu anak-anaknya hidup dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak berjaya. Oleh itu, ibu bapa haruslah tegas dalam mendidik anak-anak supaya cinta akan ilmu demi masa depan yang cerah.
“Saya berharap agar ibu bapa juga bermotivasi dan terus berusaha memberikan sokongan yang padu kepada anak-anak. Percayalah, usaha dan keperitan pada hari ini adalah satu pelaburan yang pasti pada masa akan datang,” katanya.
Liew juga mengharapkan semua sekolah di Tawau khususnya SMK Tawau akan memberikan satu keputusan yang gemilang lagi pada tahun ini.
“Bersainglah secara sihat untuk terus cemerlang melalui penambahbaikan, berinovasi dan sentiasa melakukan perubahan secara berterusan dan memberikan manfaat kepada warga sekolah dan masyarakat,” kata Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) itu.
Mengenai program itu, Liew berkata, SMK Tawau sebelum ini sudah terkenal dengan pelbagai pencapaian dari segi kurikulum dan kokuriukulm.
“Saya difahamkan jumlah calon SPM SMK Tawau 2024 ialah 360 murid. Hari ini anda semua memikul satu tanggungjawab yang besar dan menjadi harapan sekolah dan ibu bapa untuk memberikan sesuatu yang manis,” ujarnya.
Beliau berpesan kepada calon-calon SPM 2024 agar berusaha dengan gigih, komitmen terbaik dan sentiasa memohon restu guru dan ibu bapa untuk mencapai kejayaan.
“Kejayaan yang dikecapi sesungguhnya akan memberikan satu tanda penghargaan kepada ibu bapa dan pihak sekolah. Tuntutlah ilmu sehingga usia sudah tidak mengizinkan. Tanpa ilmu siapalah kita manusia yang berakal di mata Tuhan ini. Jadilah apa-apa pun sebagai seorang yang bernilai kerana Albert Einstein berkata “Everyone is a genius”. Tiada yang mustahil di dunia ini dan tiada yang sukar jika tidak disudahi,” katanya.
Ia merupakan program yang julung kali diadakan di sekolah tersebut.
































