KOTA KINABALU: Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) terletak di Tenom yang mengalami kerosakan besar akibat tanah runtuh dan banjir lumpur Oktober lalu dijangka akan beroperasi semula bulan depan.
SESB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pembaikan SJHTP sedang giat dilaksanakan dengan tarikh sasaran penyiapan adalah pada Mac 2024 untuk turbin pertama, Jun 2024 untuk turbin kedua dan September 2024 untuk turbin ketiga.
SJHTP yang dikendalikan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan sebuah empangan elektrik merentasi Sungai Padas. Ia memiliki tiga turbin dengan keupayaan 22MW setiap turbin.
Pada malam 31 Oktober 2022, kerosakan besar telah berlaku ke atas struktur sivil dan loji penjanaan SJHTP akibat tanah runtuh dan banjir lumpur.
Kejadian itu menyebabkan ketiga-tiga turbin rosak dan tidak berfungsi untuk menjanakan tenaga.
Bencana alam tersebut mengakibatkan SESB kehilangan kapasiti penjanaan sebanyak 66MW daripada SJHTP.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir.Ts Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata, pelbagai cabaran dihadapi oleh SESB ketika melaksanakan kerja-kerja pemulihan semula stesen hidro itu.
“Pembaikan jalan masuk dan interim slope protection (kawasan intake dan stesen) telah siap dilaksanakan pada tahun 2023.
“Kini dalam proses untuk pelaksanaan permanent slope protection di kawasan kritikal sepanjang jalan masuk ke stesen untuk pelaksanaan dalam tahun 2024,” katanya.
Menurut beliau, pembersihan terowong kuasa sepanjang 4.4 km dan paip penstock sejauh 155 meter juga sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap pada bulan Mac 2024.
Pada masa yang sama, kerja-kerja pembersihan terowong air hidro sedang giat dilakukan oleh anggota kerja SESB dan kontraktor yang dilantik. Apabila siap nanti, air daripada Sungai Padas akan dapat disalur masuk melalui terowong dan memutar turbin Unit 3.

Kos pembaikan setakat ini telah mencecah jumlah sebanyak RM60 juta.


































