Liew dan Dr. Sabin
KOTA KINABALU: Tamu Besar Tahun Baharu Cina Segama 2024 yang dinanti-nantikan akan berlangsung di Jalan Segama, di sini, pada 8 Februari 2024, dari jam 1 tengah hari hingga 12 pagi.
Ia akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew bersama Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah
Acara yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menerusi Lembaga Pelancongan Sabah ini menjanjikan sambutan yang menakjubkan dengan mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya.
Liew yangmemberikan sokongan sepenuh hati terhadap penganjuran acara ini berkata, Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang penting untuk semua rakyat Sabah, merentasi kaum dan agama.
“Usaha kerjasama antara DBKK dan Kementerian, ditambah dengan sokongan yang diberikan, sudah pasti akan meningkatkan promosi acara ini, menjadikannya tarikan yang hebat untuk pelancong tempatan dan asing. Kami berhasrat untuk mempamerkan kemeriahan dan keindahan sambutan Tahun Baru Cina secara unik di Sabah dengan meriah.”
Pengunjung dijemput secara terbuka untuk menyertai acara bersempena perayaan Tahun Baharu Cina di Bazar Segama ini anjuran DBKK di mana pelbagai aktiviti dan persembahan menarik menanti. Sebanyak 350 gerai akan berbaris di Jalan Segama, menjadikan ianya sebagai bazar terbesar tahun ini.
Acara ini juga akan menampilkan tarian singa dan naga yang memukau, rentak berirama Gendang 24, persembahan diabolo, nyanyian dan tarian yang menawan, cabutan bertuah dan banyak lagi.
Kemuncak pada malam itu ialah pelancaran inisiatif Discover Sabah Digital 2024, pelan strategik untuk meningkatkan pelancongan Sabah ke tahap baharu melalui pendekatan digital. Inisiatif ini susulan kejayaan Dec-Cover Sabah 2023 yang telah dilaksanakan.
Selain itu, satu majlis pengiktirafan bagi kejayaan menyelesaikan misi DEC-Cover Sabah Foodie Tour 2023 oleh Biao Ge Leo akan ditampilkan semasa program tersebut.
Pencapaian membanggakan ini telah merekodkan perjalanan 39 hari tanpa henti, yang meliputi 22 daerah dan perjalanan sejauh 4200km, merentasi Sabah yang juga telah diiktiraf dan disahkan buat pertama kali oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Acara ini menjanjikan satu detik yang menggembirakan, dengan memperlihatkan keindahan budaya kaum Cina dinegeri Sabah. Sambutan itu akan ditayangkan menerusi siaran langsung di Halaman Facebook Kita Connect dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.
Inisiatif ini bertujuan untuk berkongsi sambutan penting ini bukan sahaja bersamarakyat Sabah tetapi dengan semua rakyat Malaysia dan pelancong di seluruh dunia.
Sertai kami di Tamu Besar Tahun Baru Cina Segama 2024 pada 8 Februari 2024 untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan! Untuk maklumat lanjut, ikuti kami di Halaman Facebook @Kita Connect.


































