Anggota polis berkawal di kawasan jumpa mayat dalam longkang di Kampung Seribong, Pasir Tumboh kelmarin.
KOTA BHARU: Dua pemotong rumput menggigil selepas menjumpai mayat seorang lelaki tertiarap di dalam longkang di Kampung Seribong, Pasir Tumboh di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Muhamad Musahar, 35, dan rakannya Mohd. Araf Saupi, 25, menjumpai mayat berpakaian lengkap itu semasa kerja-kerja memotong rumput di kawasan berkenaan pukul 11.30 pagi.
Menurutnya, dia melihat seorang lelaki tidak bergerak di dalam longkang sedalam kira-kira satu meter.
“Saya menjenguk ke dalam longkang sebelum mendapati kedua-dua tangan dan kaki lelaki itu sudah warna kekuningan dan mengecut.
“Terkejut dengan penemuan mayat itu, saya terus berlari dan memaklumkan kejadian tersebut kepada Mohd. Araf yang berada tidak jauh dari kawasan longkang,” katanya ketika ditemui.
Muhamad berkata, itu kejadian pertama dia menjumpai mayat sejak lebih setahun bekerja dengan sebuah syarikat penyelenggaraan jalan di sini.
Katanya, dia dan Mohd. Araf menggigil kerana terlalu takut sehingga mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja memotong rumput.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II duntuk proses bedah siasat dan usaha mengenal pasti identiti lelaki itu sedang dijalankan.


































