Aaron Ago Dagang (kanan) menurunkan tandangan sebagai simbolik perasmian Kompleks Perpaduan Jajahan Machang, Kelantan.
MACHANG : Kerajaan bercadang membina kompleks perpaduan di setiap negeri dalam melancarkan pengoperasian, pengurusan dan pertadbiran jabatan serta jentera-jentera di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Machang menjadi kawasan tunggal yang mempunyai kompleks tersebut di negara ini dengan pembinaannya menelan belanja berjumlah RM9.8 juta dan beroperasi sejak tahun 2020.
“Kompleks Perpaduan kedua pula akan kita bina di Perlis dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2027,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aaron memberitahu, pihaknya menyasarkan sekurang- kurangnya 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif diwujudkan di seluruh negara bermula April ini.
Katanya, sasaran berkenaan membabitkan setiap daerah di seluruh negara bertepatan dengan aspirasi Rukun Negara untuk membina masyarakat progresif sekali gus mampu menjadi contoh kepada KRT lain.
“Setakat ini, kita sudah mempunyai 8,438 KRT di seluruh negara dan penubuhan KRT sebelum ini hanya memberi tumpuan yang membabitkan keselamatan peringkat komuniti.
“Jadi KRT progresif ini akan lebih tertumpu kepada sektor ekonomi termasuklah dalam bidang perusahaan makanan, industri pelancongan, agro pertanian dan sebagainya,” katanya.


































