Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan bermesyuarat dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membincangkan isu pemilikan akaun TikTok bagi kanak-kanak bawah umur 13 tahun yang tidak terkawal.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat itu berhubung penubuhan jawatankuasa teknikal seperti yang diputuskan Kabinet bagi meneliti isu-isu perundangan berhubung keselamatan dalam talian.
Menurut beliau, mesyuarat itu turut melibatkan Kementerian Digital diterajui Menteri, Gobind Singh Deo antaranya membincangkan garis panduan penggunaan media sosial khususnya bagi kanak-kanak bawah umur 13 tahun.
“Ini perkara yang kerajaan sedang teliti, banyak negara juga sedang menelitinya termasuk di Amerika Syarikat (AS).
“Jadi, kementerian saya akan bersama kementerian lain untuk melihat dari segi perundangan apa yang boleh kita pinda atau wujudkan serta tindakan yang perlu diambil,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Teknologi Sidang Kemuncak Komunikasi Malaysia ‘Melakar Masa Depan Bersama’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan TikTok selepas perayaan Tahun Baharu Cina, serta beberapa pengendali media sosial lain untuk membincangkan isu keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Terdahulu, ketika menjadi panel dalam forum itu, Fahmi berkongsi pengalaman di kawasannya di Lembah Pantai apabila terdapat ramai pelajar sekolah bawah umur yang mempunyai akaun TikTok.
Beliau berkata, aspek kawal selia diperlukan antaranya untuk melihat isu pemilikan akaun TikTok dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun.
Sementara itu, Fahmi mengingatkan pempengaruh untuk mengawal secara kendiri dan berhati-hati apabila mengendalikan audio siar atau memuat naik kandungan di media sosial supaya tidak memberi kesan kepada masyarakat.
“Di kawasan saya, saya minta guru-guru besar, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) untuk menyampaikan kepada ibu bapa dan kanak-kanak sekolah rendah untuk berhati-hati dengan apa yang mereka peroleh daripada media sosial termasuk ‘podcast’ (audio siar) dan platform TikTok supaya tidak terpengaruh,” katanya.
Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini memberitahu akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Komunikasi berhubung isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak berumur bawah 13 tahun.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya perlu memohon penyelarasan daripada Kementerian Komunikasi sebelum mengeluarkan sebarang garis panduan membabitkan golongan berkenaan.
Pada 2 Februari lalu, Fahmi dilaporkan berkata, isu pemilikan akaun TikTok oleh kanak-kanak bawah umur 13 tahun antara isu dipertimbang untuk diutarakan kepada pengurusan platform media sosial itu.


































