PETALING JAYA: Sepuluh anggota polis trafik ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya ditukar serta merta ekoran penemuan sejumlah wang tunai RM3,753 di dalam sebuah beg dan kereta dinaiki mereka ketika menjalankan tugas Op Alkohol.
Semua mereka terlibat iaitu seorang pegawai berpangkat Inspektor dan sembilan anggota terdiri Sarjan, Lans Koperal serta Konstabel.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, satu kertas siasatan tatatertib sudah dibuka bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.
Menurut beliau, siasatan itu dilakukan selepas pasukan JIPS melakukan pemeriksaan ke atas anggota berkenaan yang menjalankan sekatan jalan raya pada pukul 2.30 pagi tadi.
“Pemeriksaan oleh pasukan JIPS Bukit Aman mendapati salah seorang anggota trafik berpangkat Sarjan memiliki wang tunai kira-kira RM3,313 selain wang tunai berjumlah RM440 dalam sebuah kereta.
“Satu Kertas Siasatan Tatatertib telah dibuka ekoran pemeriksaan dan laporan polis berhubung kes terbabit untuk mengenalpasti sebarang perbuatan rasuah atau pelanggaran prosedur trafik,” katanya di sini.
Tambah beliau, buat sementara waktu, kesemua pegawai dan anggota trafik yang sedang disiasat itu akan dikeluarkan daripada pasukan penguatkuasa BSPT sehingga siasatan selesai.


































