Fadhlina Sidek
BAYAN LEPAS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperbanyakkan kelas prasekolah di bawah kementeriannya bagi menampung permintaan murid-murid prasekolah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini terdapat 9,909 kelas prasekolah di seluruh negara dan kelas-kelas tersebut akan terus diperbanyakkan.
”Peluasan prasekolah KPM berlangsung setiap tahun kerana permintaan yang terlalu tinggi. Kita juga mahu memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat pendidikan percuma di peringkat prasekolah.
”Pastinya ia juga terkait rapat juga dengan naratif keciciran sebab itu enrolmen di peringkat prasekolah ini kita perlu buat lonjakan lagi,” kata beliau selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini hari ini.
Semalam, Fadhlina mengumumkan untuk mewujudkan pasukan khas untuk penyelarasan semula sistem pendidikan prasekolah di bawah kementerian itu bagi mempercepatkan reformasi pendidikan.
Beliau dilaporkan berkata agenda KPM adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan pra sekolah seperti dari segi pembelajaran serta silibus dapat diselaraskan semuanya di bawah kementerian.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pertambahan kelas prasekolah tahun 2023 sebanyak 119 kelas, manakala tahun ini sebanyak 129 buah kelas.
”KPM merekodkan lebih 200,000 orang murid prasekolah di seluruh negara pada sesi 2023/2024,” katanya.
Kata beliau, KPM menyambut agenda reformasi pendidikan yang khususnya terkait rapat dengan prasekolah walau pun Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bukan di bawah KPM.
“KPM telah melaksanakan penyelarasan itu, jadi Kemas, Tadika Perpaduan dan prasekolah di bawah KPM akan dibuat penyelarasan untuk beberapa perkara, khususnya memberikan tumpuan kepada isu prasekolah,” katanya.


































