Ammar Abd. Ghapar (kiri) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh (dua dari kiri) melakukan tinjauan pada Majlis Penganugerahan MBOR di Melaka Wonderland Theme Park and Resort, Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA: Malaysia menyediakan insentif di bawah padanan geran penerbangan kepada pengusaha pelancongan dan syarikat penerbangan bagi membawa lebih ramai pelancong dari China melawat Malaysia terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, ini berikutan kekurangan penerbangan terus dari China ke negara ini yang menjadi kekangan.
Menurutnya, tahun lalu kedatangan pelancong dari negara berkenaan hanya sekitar 1.4 juta dan untuk tahun ini Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan lima juta pelancong melalui insentif itu.
“Kita melihat perkara ini lebih positif dan telah saya nyatakan kita ada beri insentif galakan kepada pengusaha pelancongan untuk buat penerbangan carter.
“Insentif turut diberikan kepada mana-mana syarikat penerbangan yang telah terbang ke Malaysia ingin menambah jumlah penerbangan dari seminggu dua kali kepada empat kali seminggu.
“Kita juga turut memberikan insentif jika ada syarikat penerbangan yang ada ini supaya memikirkan untuk perjalanan baharu di mana-mana destinasi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) di Melaka Wonderland Theme Park and Resort di sini, malam tadi.
Tambah Ammar, penganjuran tahun melawat negeri membabitkan Melaka, Perak, Kelantan dan Perlis akan menjadi kayu pengukur persediaan kerajaan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita cipta momentum supaya orang bersedia dan tahu pada 2026 itu adalah Tahun Melawat Malaysia dan saya yakin tidak berapa lama lagi, ada beberapa negeri lain menganjurkan tahun melawat negeri 2025,” katanya.




























