Isnin (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama selepas menyempurnakan penanaman pokok di PPR Gayang Ria, Tuaran kelmarin.
TUARAN: Sebanyak 134,794 pokok telah ditanam di seluruh Sabah setakat ini dalam usaha untuk mencapai sasaran penghijauan negeri iaitu melalui penanaman sebanyak 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033.
Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kesemua 134,794 pokok itu ditanam melalui pembangunan di kawasan perumahan, komersial, industri, taman-taman awam dan kawasan hijau yang lain.
“Angka ini masih terlalu rendah untuk kita banggakan. Oleh itu, saya menyeru kepada semua terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mempergiatkan usaha dan program kemasyarakatan bagi menyuntik semangat hijau di kalangan masyarakat demi mencapai sasaran yang ditetapkan Kementerian ini iaitu 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033 bagi Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah KKTP (I P.L.A.N.T.) di Projek Perumahan Rakyat Gayang Ria II, di sini, pada Jumaat.
Program I P.L.A.N.T. bertujuan untuk membudayakan kecintaan terhadap landskap dengan menyelaras usaha yang melibatkan kesedaran dan penglibatan awam dalam pemeliharaan landskap seperti yang terkandung dalam Dasar Landskap Negeri Sabah.

Isnin, (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir dan pegawai kanan Kktp dan PBT Tuaran.
Menurut Isnin, pelaksanaan program ini juga adalah bagi menyokong hala tuju yang dinyatakan di dalam The 2030 Agenda For Sustainable Development, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah, Sasaran Penanaman 1.3 juta Pokok Menjelang Tahun 2033 Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.
“Selain daripada menyokong usaha-usaha memampankan persekitaran, program ini juga bermatlamatkan pembudayaan masyarakat rendah karbon ke arah kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, salah satu strategi pelaksanaan adalah melalui pembentukan Komuniti HIJAU di mana Tindakan Bersepadu PBT dan Masyarakat diwujudkan melalui anjuran program ke arah usaha hijau dan seterusnya melahirkan komuniti yang berdaya huni.
“Program secara usaha sama ini diharapkan dapat memberi kesedaran tentang kepentingan penanaman pokok yang menyumbang kepada peningkatan proses penyerapan karbon serta mencapai matlamat mewujudkan bandar rendah karbon di samping memelihara dan memulihara alam sekitar dengan mengembalikan semula sumber hijau dalam persekitaran.
“Inisiatif sebegini juga dilaksanakan bersama PBT di Sabah, agensi awam seperti Jabatan Perhutanan Sabah, sekolah-sekolah dan dan agensi swasta seperti Sabah Wetlands Conservation Society.
“Melalui program I P.L.A.NT. ini sebanyak 3,228 pokok telah diedar dan ditanam bersama agensi yang terlibat. Usaha penghijauan ini adalah bagi membantu sasaran negeri dalam mencapai jumlah penanaman pokok sebanyak 1.3 juta menjelang tahun 2033,” jelasnya.
Usaha penanaman 1.3 juta pokok merupakan program yang dirangka khas bagi memberi pendedahan orang awam untuk untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dan kepentingan penghijauan dalam usaha mengurangkan pemanasan global dan ancaman perubahan iklim.
Mengucapkan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pelaksana Kementerian, Majlis Daerah Tuaran dan Management Corporation PPR Gayang Ria II atas komitmen dan dedikasi yang tinggi bagi memastikan keberlangsungan program ini berjalan dengan baik, Isnin berharap inisiatif penghijauan yang dilaksanakan Kementerian melalui Sektor Landskap dan Kelestarian KKTP akan berterusan dengan momentum positif yang dapat membantu ke arah menghijaukan bumi dan menjadi pemangkin kepada semua pihak agar bersama-sama menjaga alam sekitar serta mengimbangi pembangunan secara fizikal dengan kemampanan alam sekitar demi kemakmuran bersama.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Timbalan Setiausaha Tetap II, Faridah Giau; Pegawai Daerah Merangkap Pengerusi Majlis Daerah Tuaran Hadzlan Jablee; LAr. (Landscape Architect yang juga /Pengerusi Penganjur Program, Nurulhayati Awang More; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran selaku Pengerusi Bersama Program Jamlin Ladin; Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Daerah Tuaran, Mohamad Nanti, pegawai-pegawai kanan dari KKTP dan Majlis Daerah Tuaran, wakil daripada Management Corporation PPR Gayang Ria.
































