SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun menemui ajal apabila ditinggalkan ibunya dalam sebuah kereta kira-kira empat jam dekat tempat letak kenderaan di belakang Hospital Shah Alam di sini, Rabu.
Anak kepada petugas hospital berkenaan dikatakan tidur dalam kenderaan itu dalam keadaan enjin dimatikan serta tanpa disedari ibunya yang berusia 34 tahun selepas mengambilnya dari sebuah taska berdekatan kira-kira pukul 2 petang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohamad Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu hanya disedari selepas bapa mangsa menghubungi isterinya itu.
Menurutnya, kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Polis menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 8.01 malam daripada seorang pegawai perubatan hospital tersebut. Hasil siasatan mendapati, mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja dalam kenderaan jenis Perodua Axia.
“Post-mortem dijalankan pada 31 Januari pukul 2.00 petang dengan keputusan pending laboratory investigations. Pemeriksaan keatas mangsa juga dapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Beliau menambah, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka semasa pulang dari sekolah atau taska terutamanya yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini bolehlah menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996,” ujarnya.

































