Para pengunjung menyertai aktiviti melukis batik di ruang pameran Kumpulan Yayasan Sabah.
KOTA KINABALU (Selasa): Kumpulan Yayasan Sabah turut serta menjayakan program Perkhidmatan Komuniti Bergerak anjuran Perbendaharaan Malaysia Sabah yang diadakan di Dewan Sri Gum-Gum, Sandakan, Ahad.
Program setengah hari itu melibatkan lebih 30 jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
Dalam program tersebut, Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan beberapa perkhidmatan untuk orang ramai antaranya peluang melanjutkan pengajian di Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).
Penyertaan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) dan Pejabat Zon Utara Pantai Timur (ZPTU) juga turut memeriahkan di ruang pameran Kumpulan Yayasan Sabah dengan mengadakan pameran kraftangan yang dihasilkan oleh usahawan tempatan di Sabah.
Program MCS merupakan salah satu usaha kerajaan secara bersepadu untuk mendekatkan rakyat kepada pelbagai jenis perkhidmatan di lapangan khususnya di luar bandar dan pedalaman yang berhadapan dengan isu-isu kebolehcapaian.
Menerusi program itu, Kumpulan Yayasan Sabah merakyatkan perkhidmatan masyarakat setempat menerusi akses dan informasi mengenai aktiviti pendidikan dan pembangunan kapasiti yang diterajui oleh Kumpulan Yayasan Sabah.


































