Andi menyampaikan sijil kecemerlangan kepada salah seorang pelajar cemerlang
TAWAU: Kejayaan seseorang murid terletak pada diri murid itu sendiri yang perlu sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
“Jika berusaha pasti memperolehi kejayaan,” katanya pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Kebangsaan Pasir Putih Sesi Akademik 2023/2024 di Dewan SMK Pasir Putih, di sini, kelmarin.
Andi yang juga ADUN Tanjung Batu turut menyeru para ibu bapa agar memainkan peranan yang penting dalam mencorak masa depan anak mereka.
“Kejayaan seorang murid tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus “memberi” agar para pelajar bersedia untuk “menerima”.
“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita. Kejayaan ini merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat para murid dan ibu bapa,” kata Andi, sambil mengucapkan tahniah kepada semua murid atas kejayaan yang dikecapi.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan hadir ke majlis tersebut dan juga guru-guru yang berjaya memartabatkan profesion perguruan sehingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti.


































