Andi (kiri) menerima cendera kenangan daripada Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang.
TAWAU: Komitmen dan kerjasama yang baik oleh semua pihak penting dalam menjayakan agenda Inisiatif I-Hijau ke arah masyarakat rendah karbon, usaha melestarikan alam sekitar dan menangani cabaran perubahan iklim di Malaysia.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, dedikasi serta semangat yang ditunjukkan oleh semua membuktikan bahawa mereka peka dan mengambil berat terhadap masalah dan keperluan masyarakat pada masa ini.
“Ini sudah tentu akan memberi manfaat kepada semua, termasuk komuniti setempat,” katanya Majlis Perasmian Program Komuniti Tawau 3.0/2024 “I-Hijau” Inisiatif Hijau KKTP “Aspirasi Sabah Maju Jaya” di Taman Awam Muhibbah, di sini, kelmarin.
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah menganjurkan Festival “I- HIJAU KKTP” sebagai salah satu langkah proaktif untuk melestarikan amalan hijau yang menyokong Pembangunan Lestari (Sustainable Development), Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Pelan Pembangunan SMJ 1.0 : 2021 – 2025, Dasar Landskap Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.
Andi yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, inisiatif KKTP ke arah Masyarakat Rendah Karbon Bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah merupakan salah satu usaha menyediakan panduan bagi membantu dalam mencapai pembangunan lestari ke arah persekitaran hijau dan berdaya huni.
“Inisiatif KKTP ke arah ini merumuskan pendekatan langkah-langkah dan program dalam menangani perubahan iklim global dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida dalam aktiviti harian masyarakat.
“Pemanasan global dan perubahan iklim adalah fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau yang menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa.
“Antara aktiviti manusia yang menyumbang kepada pelepasan karbon termasuklah daripada aktiviti penebangan haram, pembuangan sisa pepejal, pembakaran terbuka, pelepasan gas industri, pelepasan karbon daripada kenderaan bermotor dan pembangunan guna tanah yang pesat.
“Pelepasan karbon yang berterusan akan menyebabkan kesan negatif kepada penduduk dunia seperti peningkatan suhu, peningkatan paras laut, berlakunya banjir yang menjurus kepada kerosakan harta benda sekiranya tidak dibendung dari awal,” katanya.
Beliau berkata, program hijau amat digalakkan bagi melahirkan sebuah masyarakat dan komuniti yang sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar untuk diseimbangkan dengan pembangunan ekonomi dan sosial.
“Isu pencemaran alam sekitar seharusnya tidak boleh dipandang remeh kerana bumi yang kita diami pada hari ini semakin tenat dengan sisasisa domestik dan sampah sarap. Kitar semula adalah salah satu jalan penyelesaian yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.”
Di samping itu, katanya, penglibatan komuniti dalam perancangan dan pembangunan hijau amat penting bagi mewujudkan persekitaran yang berkualiti dan mampan.
“Sokongan dan kerjasama komuniti dalam mencorakkan haja tuju kejiranan hijau memberi faedah dalam pembentukan komuniti hijau. Komuniti hijau tidak hanya terhad kepada sesebuah unit kejiranan dan ianya perlu dilihat secara menyeluruh dalam perancangan termasuklah perancangan guna tanah, sistem pengangkutan, kemudahan masyarakat dan infrastruktur,” tegas Andi yang juga Ahli Parlimen Kalabakan.
Beliau juga mengucapkan tahniah juga kepada Majlis Perbandaran Tawau di atas penganjuran program tersebut.


































