Tun Juhar (tengah) bersama isteri Toh Puan Norlidah Tan Sri R M Jasni (lima kanan) dan Hajiji (empat kiri) bersama isteri Datin Seri Juliah Salag (empat kanan), bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang (lima kiri) dan tetamu jemputan lain melakukan “lao sang”.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah amat menghargai kerjasama kukuh yang telah dikongsinya dengan China.
“Kerajaan Negeri Sabah amat mementingkan hubungan baik dengan China. Seperti yang ditekankan oleh Konsul Jeneral Tuan Yang Terutama Dr. Huang Shifang dalam ucapannya sebentar tadi, usaha kami dalam meningkatkan hubungan antara Sabah dan China telah menghasilkan hasil yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.
“Sabah telah mengadakan pertukaran mesra dengan beberapa wilayah dan bandar di China sebagai hasilnya,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh Konsulat China di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Tun Juhar dan Hajiji menunjukkan skrol ucapan Tahun Baru Cina.
Ketua Menteri juga yakin dengan hasil positif daripada misi perdagangan ke China di mana beliau berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi Global China di Shenzhen tahun lepas.
“Saya berpeluang bertemu pelabur dan menjemput mereka meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di Sabah. Sejak itu terdapat banyak penglibatan antara negeri dan pelabur China. Saya yakin dengan hasil yang positif,” katanya.
Hajiji berkata, telah wujud momentum dan kerjasama yang kukuh antara Sabah dan China dalam banyak bidang kerjasama termasuk pelaburan, perdagangan dan budaya.
“Terdapat banyak yang boleh kita lakukan bersama untuk memainkan peranan aktif dan meningkatkan hubungan mesra, pertukaran dan kerjasama. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Konsul Jeneral China kerana aktif mempromosikan pertukaran mesra dan kerjasama antara China dan Sabah,” katanya.






























