Keadaan kereta yang terbabas ke dalam premis kedai di Plaza Mahkota, Putatan , pagi tadi.
PUTATAN: Tersalah tekan pedal minyak punca kemalangan melibatkan kenderaan terbabas ke dalam sebuah premis kedai di sini pagi tadi yang tular di platform media sosial.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Iu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang telah menerima laporan polis mengenai satu kejadian yang tular di platform media sosial iaitu melibatkan pelanggaran dua kenderaan yang mengakibatkan rempuhan sebuah premis di Plaza Mahkota, di sini, pada jam 1130 pagi hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati pelanggaran dipercayai berpunca daripada pemandu salah sebuah kenderaan telah tersalah menekan pedal minyak apabila hendak keluar daripada petak parkir menyebabkan kenderaan yang diapndunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan dan terperosok masuk ke dalam sebuah premis pernigaan di kawasan tersebut.

“Kedua-dua pemandu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecedaraan dan kes telah disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 ln 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak memuat naik sebarang info tidak sahih di mana-mana platform media sosial bagi mengelakkan salah faham dan menimbulkan kegusaran awam.
































