Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penduduk kampung dan kakitangan UPPM DUN Kundasang dalam Majlis Perasmian Dewan Mini Kg Monggis.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II yang juga ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kundasang agar mengeratkan hubungan dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
Beliau menyeru Pengerusi JKKK agar sentiasa berhubung dengan UPPM terutamanya apabila menghadapi sebarang masalah dan keperluan mendesak.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian ketika merasmikan Dewan Mini Kampung Monggis, dalam DUN Kundasang, di sini, kelmarin.
Lebih 200 penduduk Kg. Monggis mendapat manfaat dengan pembukaan dewan mini baharu daripada Dr. Joachim yang telah menandatangani plak dewan mini itu.

Dr. Joachim (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penduduk kampung yang meraikan hari ulangtahun kelahirannya dalam Majlis Perasmian Dewan Mini kampung Monggis.
Dewan mini tersebut dibina bagi menggantikan balai raya yang sudah usang.
Dr. Joachim berkata, dewan mini ini boleh digunakan untuk melaksanakan aktiviti kampung seperti upacara keagamaan, sukan, program ketua-ketua adat dan lain-lain.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani atas usaha menyiapkan dewan ini dan mengarahkannya untuk mengenal pasti semua kampung yang mempunyai masalah dan mencari penyelesaian bersama.
Dr. Joachim turut memaklumkan bahawa satu pertemuan akan diadakan bersama dengan semua Pengerusi dan Setiausaha JKKK pada 15 Februari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gompoyo; Ketua Anak Negeri DUN Kundasang, Dominic Ghani; Pengerusi JKKK Kg. Monggis, Sylvita Sylvester; Ketua Kampung, Jackson Nudin dan kakitangan UPPM.
































